Wednesday , 18 July 2018

Home » Gambar » Pendaki Solo
 mahu cipta 
rekod di Everest?

Pendaki Solo
 mahu cipta 
rekod di Everest?

December 25, 2014 6:11 pm by: Category: Gambar, Info A+ / A-

Mohd. Noor Mat Amin mungkin bukan rakyat Malaysia pertama yang bakal menawan puncak Gunung Everest, namun pendaki solo negara itu yang sudah beberapa kali mengukir nama di dalam Malaysia Book of Records mempunyai misi tersendiri dalam projek Everest 2015 – Brands of Malaysia.IMG-20141123-WA0046

Secara rasmi, anak jati Terengganu itu memberitahu, misi secara solo ke Everest pada April tahun depan adalah untuk membawa Brands of Malaysia (jenama-jenama produk tempatan) bagi diperkenalkan ke persada dunia.

Namun sebagai pencipta rekod tegar di negara ini, beliau menyimpan hasrat untuk melakar rekod peribadi yang boleh mengharumkan nama negara di ‘bumbung dunia’ tersebut.

Bagaimanapun apabila ditanya apakah rekod yang bakal dibuat, beliau yang juga jurugambar akhbar Utusan Malaysia hanya tersenyum dan cuma membalas, “Kita lihat sahaja nanti.’’

Ironinya, Mohd. Noor merupakan salah seorang kru sokongan dalam Projek Malaysia-Everest 97 yang menyaksikan dua pendaki negara, M. Magendran dan N. Mohandas menjadi rakyat pertama dari negara ini yang menjejakkan kaki di puncak Everest.

Sewaktu ekspedisi tersebut, beliau yang ditugaskan sebagai jurugambar rasmi telah memproses gambar berwarna secara manual di Everest Base Camp dan diiktiraf sebagai jurugambar pertama di dunia berbuat demikian.

Malah sekembalinya ke tanah air, beliau telah menulis sebuah buku berjudul Jejak Ke Puncak yang memuatkan catatan perjalanan pendaki dan kru sokongan Projek Malaysia-Everest 97 bermula daripada episod latihan hingga ke detik kejayaan menawan puncak Everest.

Berdasarkan pengalaman dan pencapaian itu, sudah tentu beliau berkemampuan melakukan sesuatu yang unik di puncak dunia tersebut.IMG-20141123-WA0066

Keyakinan itu ditambah pula dengan beberapa siri kejayaan yang telah dimuatkan di dalam Malaysia Book of Records sebelum ini seperti mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 50 kali secara solo selama 60 hari pada 2007 dan mendaki tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 20 kali dalam tempoh 24 jam pada 2008.

Beliau turut memperbaharui rekod pendakian di Gunung Kinabalu dengan mendaki gunung itu sebanyak 111 kali secara solo selama lebih kurang 130 hari pada 2010 dan yang terbaharu, mendaki gunung itu sebanyak empat kali tanpa henti selama 57 jam sempena sambutan kemerdekaan ke-57 2014.

Jika diperhatikan pencapaian-pencapaian berkenaan, pendakian ke Everest mungkin tidak terlalu sukar buat Mohd. Noor namun beliau memilih untuk tidak bersifat angkuh, beliau akur Everest bukan seperti gunung Kinabalu dan gunung-gunung lain.

Everest saban tahun mengorbankan nyawa dan terbaharu pada April lalu, berlaku tragedi paling buruk dalam sejarah, iaitu runtuhan salji di Khumbu Ice Fall yang mengorbankan 16 orang Sherpa.

Lalu, bagi mempersiapkan diri berdepan pelbagai kemungkinan dalam ekspedisi itu nanti, Mohd. Noor telah melakukan latihan secara intensif bermula November lalu dengan mendaki semula Everest Base Camp yang berketinggian 5,364 meter dari aras laut.

Selama 11 hari latihan itu, beliau dapat melihat dan menilai sendiri kemampuannya yang sedikit sebanyak telah memberinya keyakinan untuk menyempurnakan misi ke puncak Everest.

“Porter (pengangkut barang) yang membantu saya sepanjang latihan kerap memarahi saya kerana meninggalkannya jauh di belakang. Alhamdulillah, itu menunjukkan stamina saya masih kuat,’’ katanya sambil tersenyum.

Sepanjang latihan itu juga, Mohd. Noor sempat mempromosikan projek Everest 2015 – Brands of Malaysia kepada setiap pendaki yang ditemuinya.

Malah beliau turut melekatkan stiker projek itu di setiap dinding asrama atau rumpah tumpangan tempat beliau menginap.

Rata-rata mereka yang ditemui memberikan sokongan kepada Mohd. Noor, malah tidak ketinggalan ada yang menyatakan rasa kekaguman terhadap lelaki itu yang kini berusia 47 tahun.

“Syukur, latihan di Everest Base Camp dapat disempurnakan tanpa sebarang masalah. Segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh porter serta rakan-rakan pendaki yang saya jumpa di sana akan dibawa sebagai bekalan untuk latihan seterusnya,’’ ujar beliau.

Mohd. Noor akan kembali semula ke Nepal pada Januari tahun depan bagi menjalani latihan teknikal di Taman Negara Langtang sebelum latihan terakhir di Everest Base Camp pada bulan berikutnya.

Dari segi perancangan latihan walaupun dalam tempoh singkat berbanding persiapan yang dilakukan pendaki-pendaki lain sebelum ini, itu sudah cukup bagi Mohd. Noor kerana selama ini pun beliau sentiasa mengekalkan tahap kecergasan diri.

Namun projek pendakian pertamanya ke Everest itu mungkin terkubur begitu sahaja jika beliau gagal mengumpulkan dana lebih daripada RM380,000 bagi menampung kos keseluruhan ekspedisi.

Sehubungan itu, beliau amat berharap syarikat-syarikat korporat tempatan yang ingin jenama mereka berada di puncak dunia tampil membantu menghulurkan dana sekali gus merealisasikan hasratnya untuk melakar suatu rekod baharu di puncak tersebut.

“Setakat ini sudah ada satu jenama daripada produk minuman dan beberapa produk lain yang akan membantu menghulurkan dana. Selain itu, rakan saya juga akan membantu mengutip dana melalui pertandingan golf amal yang akan dianjurkan pada Januari nanti.

“Tapi itu masih belum cukup, saya masih berharap ada pihak yang akan tampil menghulurkan dana bagi membantu projek ini direalisasikan yang mana pada akhirnya nanti, jenama-jenama Malaysia akan dikenali di persada dunia,’’ katanya.

Walaupun mempunyai misi tersendiri untuk mengukir rekod yang unik di puncak Everest, impian murni Mohd. Noor untuk membawa jenama-jenama produk Malaysia ke mata dunia seharusnya disokong.

Setidak-tidaknya, jika rekod yang dimpikan tidak dapat direalisasikan, jenama-jenama kita sudah menarik perhatian seluruh dunia.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/rekreasi/pendaki-solo-8232-mahu-cipta-8232-rekod-di-everest-1.40748#sthash.jL6hbRdj.dpuf

Pendaki Solo
 mahu cipta 
rekod di Everest? Reviewed by on . Mohd. Noor Mat Amin mungkin bukan rakyat Malaysia pertama yang bakal menawan puncak Gunung Everest, namun pendaki solo negara itu yang sudah beberapa kali mengu Mohd. Noor Mat Amin mungkin bukan rakyat Malaysia pertama yang bakal menawan puncak Gunung Everest, namun pendaki solo negara itu yang sudah beberapa kali mengu Rating: 0
scroll to top