Saturday , 24 February 2018

Home » Info » Lebih 1,000 sertai program Siswa Sihat

Lebih 1,000 sertai program Siswa Sihat

December 29, 2012 6:54 pm by: Category: Info A+ / A-

LEBIH 1,000 pelajar Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah menyertai Program Siswa Sihat 2012 (Prosis) peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Kompleks Kediaman pelajar AUCMS Putra Villas, Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, baru-baru ini.

Program dimulakan dengan aktiviti berjalan 10,000 langkah yang diketuai oleh pendaki yang juga merupakan jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin dengan mengelilingi kawasan sekitar kompleks perumahan pelajar sejauh lapan kilometer dalam tempoh tiga jam.

Pelbagai acara dijalankan sekitar perkarangan kompleks kediaman pelajar itu bertujuan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar supaya mementingkan gaya hidup sihat.

Mohd. Noor yang juga merupakan ikon Prosis turut berkongsi pengalaman pada sesi bicara siswa yang diadakan selama dua jam berlandaskan kejayaan di sebalik amalan gaya hidup sihat, selain memberi tip-tip bagaimana cara membudayakan kecergasan diri dan sihat sepanjang hayat.

Kejayaan Mohd. Noor mencipta rekod negara dalam cabaran pendakian solo sebanyak 111 kali di Gunung Kinabalu menjadi pemangkin semangat untuk mencapai kejayaan kepada generasi muda terutama golongan mahasiswa.

Prosis ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama AUCMS dan telah dirasmikan oleh Naib Cancelor AUCMS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak.

Beliau berkata, mahasiswa adalah aset penting dalam pembangunan negara dan pewaris kepimpinan masa hadapan.

“Selain pendidikan berkaitan dengan bidang yang bakal diceburi di setiap universiti, pendidikan kesihatan perlu diberikan perhatian dan keutamaan supaya dapat melahirkan mahasiswa yang sihat dan cergas.

“Prosis merupakan program pendidikan kesihatan yang secara langsung dapat membantu melahirkan mahasiswa yang sihat dan sentiasa peka terhadap penjagaan kesihatan diri,” katanya.

Beliau berharap, Prosis ini dapat terus dikembangkan ke seluruh institusi pengajian awam dan swasta dan dijalankan secara berterusan kerana program seperti ini dapat melahirkan mahasiswa yang lebih cergas dan sihat sepanjang hayat.

Pelbagai acara lain turut disertai para pelajar seperti senamrobik, kuiz sihat, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.

Bagi seorang mahasiswa AUCMS, Surainsah Junaidi, Prosis ini dapat membentuk kemahiran mahasiswa dalam mengamalkan cara hidup sihat khususnya berkaitan aktiviti fizikal, makanan seharian secara sihat, tidak merokok, pupuk minda sihat dan sihat tanpa alkohol.

Katanya, program itu juga boleh memupuk sikap positif masyarakat kampus terhadap amalan gaya hidup sihat.

Sementara itu, pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Huzel Koh, berkata, Prosis merupakan pemangkin kepada program membentuk generasi muda khususnya para pelajar institusi pengajian tinggi supaya mementingkan kesihatan diri dan juga mengamalkan cara hidup sihat.

“Aktiviti berjalan sebanyak 10,000 langkah ini merupakan perintis dan pengenalan dalam amalan harian dan harus diteruskan di samping mengurangkan pengambilan makanan berlemak dalam diet pemakanan harian,” ujarnya.

AUCMS merupakan lokasi ke-11 yang mana penganjuran program Prosis ini bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu.

Selain UiTM Shah Alam, Prosis telah berjaya dianjurkan di UiTM Dungun, Terengganu; UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan; UiTM Arau, Perlis; UiTM Merbuk, Kedah; UiTM Machang, Kelantan; Kolej Universiti Islam Melaka; Universiti Tenaga Nasional Muadzam Shah, Pahang dan UiTM Shah Alam. – SYAHRIL

Sumber : Utusan Online

Lebih 1,000 sertai program Siswa Sihat Reviewed by on . LEBIH 1,000 pelajar Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah menyertai Program Siswa Sihat 2012 (Prosis) LEBIH 1,000 pelajar Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah menyertai Program Siswa Sihat 2012 (Prosis) Rating: 0
scroll to top