Tuesday , 17 October 2017

Home » Gambar » LAPANGAN TERBANG PALING BAHAYA DI DUNIA

LAPANGAN TERBANG PALING BAHAYA DI DUNIA

June 19, 2017 5:14 pm by: Category: Gambar, Info, Slider A+ / A-

Cemas terkandas tiga hari di Tenzing Hilarry Aiport Lukla.

Keghairahan untuk pulang ke Kathmandu dan Malaysia semakin kemuncak kerana Berjaya mencipta sejarah menawan tujuh puncak dalam Himalaya 2017 – Breaking Malaysia Records tempoh tiga minggu di Banjaran Himalaya) walaupun terpaksa menahan kesakitan pada jari tangan kiri ekoran frostbite sejak 9 Mei lalu.

Di tambah pula kelegaan dapat saya mandi air panas di lorge Phakding sebelum bergerak ke Lukla. (hampir dua minggu tidak dapat mandi kerana kesejukan ketika mendaki)

Pada 14 Mei, saya bersama Sherpa dan porter tiba di Budha hotel bersebelahan Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla pukul satu tengahari dengan harapan dapat terbang ke Kathmandu keesokan harinya.

Kabus tebal di sekitar Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla

Kabus tebal di sekitar Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla

Pukul 2 petang, kawasan sekitar mula berubah kepada berkabus menutupi seluruh kawasan menyebabkan sekitar lapangan terbang itu menjadi sunyi kerana penerbangan seterusnya dibatalkan kerana cuaca buruk.

Menurut Dawa Sherpa yang sentiasa berhubung dengan pihak lapangan terbang dan syarikat penerbangan, sebanyak lapan penerbangan daripada Kathmandu dibatalkan pada hari itu membuatkan saya berasa cemas.

Lapangan terbang yang ditukar nama kepada Hillary Tensing Airport tahun 2008 terkenal sebagai salah satu lapangan yang paling berbahaya di dunia kerana terletak pada ketinggian 2,700 meter di tengah Banjaran Himalaya dan landasannya pula hanya 450 meter dengan lebar 20 meter sahaja.

Salah sebuah pesawat mendarat di Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla.

Salah sebuah pesawat mendarat di Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla.

Hanya juruterbang yang berpengalaman sahaja yang boleh melakukan penerbangan kerana risikonya teramat tinggi dinding gunung ketika mendarat dan jurang yang curam ketika berlepas.

Sebahagian pendaki  yang terkandas menaiki pesawat

Sebahagian pendaki yang terkandas menaiki pesawat

Cuaca buruk menjadi satu halangan besar kerana semua penerbangan terpaksa dibatalkan. Ada kalanya melebihi seminggu terpaksa di tutup menyebabkan semakin ramai yang terkandas di lapangan terbang ini.

Walaupun paling berbahaya di dunia, Tenzing-Hillay Aiport, Lukla adalah lapangan terbang domestik yang paling sibuk di Nepal terutama ketika musim pendakian iaitu lebih 20 pesawat ulang alik setiap hari. Setiap kapal terbang yang mendarat itu tidak lebih 10 minit dan akan terbang kembali ke Kathmandu.

Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla menjadi sunyi sepi ekoran cuaca yang berkabus.

Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla menjadi sunyi sepi ekoran cuaca yang berkabus.

Sehingga kini, beberapa syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat kecil berulang alik ke Lukla seperti Tara Air, Druk Air, Agni Air, Gorkha Airlines, Nepal Airlines, Sita Air, Buddha Air, dan Yeti Airlines.

Saya bersama ramai pendaki negara lain turut terkandas ekoran cuaca buruk pada keesokannya kerana seluruh kawasan berkabus tebal.

Pada 16 Mei, cuaca cerah menyebabkan dari pagi hingga tengahari sebanyak 16 penerbangan sahaja berulang alik ke lapangan terbang ini. Namun begitu saya dan Dawa Sherpa tidak berpeluang untuk terbang ke Kathmandu kerana belum sampai giliran.

Salah sebuah pesawat forker mendarat di Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla ketika cuaca baik

Salah sebuah pesawat forker mendarat di Lapangan terbang Tenzing-Hillary, Lukla ketika cuaca baik

Saya semakin cemas kerana keesokan harinya  kawasan sekitar kembali berkabus tebal menyebabkan semua penerbangan di batalkan, ditambah pula jari tangan kiri semakin sakit dan membengkak ekoran frostbite yang memerlukan rawatan di Kathmantu.

Saya bersama pendaki lain yang turut terkandas hanya dapat termenung di hotel kerana cuaca sejuk di luar. Dawa Sherpa sampai tidak selera nak makan kerana risau entah bila cuaca baik.

Pada 18 Mei, saya dan Dawa Sherpa terus bergegas ke lapangan terbang selepas diberitahu oleh wakil syarikat penerbangan dan berjaya menaiki penerbangan yang kedua berlepas ke Kathmandu ekoran cuaca cerah pada pagi itu.

Kepada semua yang ingin menaiki penerbangan ke Lukla untuk mendaki ke Everest Base Camp dan sekitarnya, rancanglah dengan baik keadaan cuaca di sekitar Banjaran Himalaya sentiasa berubah. - habis

 

LAPANGAN TERBANG PALING BAHAYA DI DUNIA Reviewed by on . Cemas terkandas tiga hari di Tenzing Hilarry Aiport Lukla. Keghairahan untuk pulang ke Kathmandu dan Malaysia semakin kemuncak kerana Berjaya mencipta sejarah m Cemas terkandas tiga hari di Tenzing Hilarry Aiport Lukla. Keghairahan untuk pulang ke Kathmandu dan Malaysia semakin kemuncak kerana Berjaya mencipta sejarah m Rating: 0
scroll to top