Wednesday , 21 August 2019

Home » Gambar » 165 kali daki, 165 hari…cabaran pertama dunia

165 kali daki, 165 hari…cabaran pertama dunia

April 30, 2019 1:22 pm by: Category: Gambar, Info, Slider A+ / A-

111SOSOK tubuhnya kecil. Tak tinggi, tak rendah. Yang sedang-sedang sahaja. Cuma yang mengagumkan, semangat berbisa pada diri Mohd. Noor Mat Amin, 52.

Merancang 165 kali mendaki puncak Gunung Kinabalu dalam tempoh 165 hari bermula 21 Julai depan sebelum diakhiri memasuki gerbang 1 Januari 2020 – itulah tekad dan cabaran yang bakal disahut pendaki solo negara ini.

“Ada bertanya kenapa saya nak buat? Ini sebenarnya bersempena ketibaan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1991.

“Kejayaan menempuh cabaran ini nanti menjadi suatu hadiah berharga daripada saya kepada beliau,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Hasil pertemuan Mohd. Noor dengan Dr. Mahathir pada 12 Februari lalu di Putrajaya, Perdana Menteri secara dasarnya telah menyatakan persetujuan untuk menjadi penaung kepada cabaran Reaching the Frontier itu.

“Perdana Menteri tertarik malah sedikit terkejut kerana pada pandangannya belum ada mana-mana pendaki terfikir untuk melakukan cabaran seumpama ini,” kata Mohd. Noor.

MOHD. Nor Mat Amin bergambar di Everest Base Camp pada ketinggian
MOHD. NOR MAT AMIN bergambar di Everest Base Camp pada ketinggian 17,000 kaki semasa menyertai Ekspedisi Everest-Malaysia pada 1997. – UTUSAN

Walaupun sebelum ini Mohd. Noor berjaya menyudahkan cabaran 111 kali mendaki Gunung Kinabalu dalam masa 111 hari pada 2010, cabarannya kali ini agak getir kerana selain tempoh masa yang lebih panjang, beliau perlu memastikan aspek kecergasan diri di tahap tertinggi.

Begitupun sesiapa yang mengikuti perkembangan track record beliau, mereka tentunya menaruh keyakinan Mohd. Noor boleh melakukannya – sama seperti kejayaan-kejayaan yang dibuktikannya sebelum ini.

Pada 2016, Mohd. Noor mencapai sasaran mendaki tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 21 kali dari 23 hingga 24 Disember. Ia melayakkan beliau meraih pengiktirafan daripada Asia Book of Records.

Beliau kemudiannya memulakan pendakian menawan tujuh puncak Banjaran Himalaya iaitu Gokyo RI Peak pada ketinggian 5,557 meter (m), Nagarjun Peak (5,100m), Chukung RI (5,550m), Kongma La Pass (5,500m), Khalapattar (5,550m), Eve­rest Base Camp (5,364m) dan Chola-La Pass (5,420m) dari 25 April sehingga 17 Mei 2017.

Tujuh kejayaannya itu meletakkan Mohd. Noor dalam senarai The Malaysia Book of Records (MBOR) untuk kategori pendakian solo.

PETIR ATAS GUNUNG

Untuk Reaching the Frontier ini, pendakiannya akan dipantau dan diperakukan oleh wakil World Record Union dan Asia Book of Records.

Berkongsi kesukaran yang akan ditempuhnya bermula 21 Julai nanti, Mohd. Noor memberitahu, keadaan cuaca terutama hujan dan menyesuaikan diri di altitud tinggi.

“Kalau hujan di bawah tiada masalah, jangan di atas (gunung) sebab kemungkinan selepas naik dalam jarak 6.7 kilometer, hujan mengakibatkan aliran deras di laluan trek yang kita lalui.

Tapi berdasarkan pengalaman sebelum ini, dalam cuaca hujan saya masih boleh meredahnya, asalkan jangan ada petir.

“Kemungkinan juga saya akan cuba menyelesaikan tiga kali pendakian dalam setiap dua hari, hari ini naik (dan turun), malam yang sama (naik lagi), diikuti keesokan pagi (naik semula).

“Untuk memastikan kemampuan stamina saya di tahap yang tinggi, saya akan memulakan latihan di bulan puasa nanti di Gunung Kinabalu, sebelum disusuli selepas Aidilfitri di Nepal,” kata beliau.

Ditanya kemungkinan cabaran di Gunung Kinabalu tidak sesukar menakluki puncak-puncak di Himalaya, Mohd. Noor berkata:

“Di setiap gunung, cara pendakiannya berbeza. Gunung-gunung berkenaan ada tarikan, halangan dan ‘semangat’ masing-masing.

Gunung Kinabalu mencecah ketinggian 4,095 meter dari aras laut. Pada awal Jun 2015, gempa bu­mi sederhana berukur­an 5.9 pada skala Richter yang menggegarkan Sabah me­ngorbankan 18 nyawa di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Mohd. Noor yang juga bekas jurugambar Utusan Malaysia setelah mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) akhir tahun lalu berkata, kejayaan dalam Reaching the Frontier itu adalah satu ganjaran atas komit­men yang diberikan dalam minat yang diceburinya 
itu.

“Malah ketika menawan Banjaran Himalaya pada ketinggian 5,200m, saya hampir kehilangan jari kiri saya kerana mengalami reput fros ekoran ribut salji berpanjangan.

“Cabaran-cabaran ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus menawan Gunung Kinabalu sebanyak 165 kali selama 165 hari,” katanya.

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/165-kali-daki-165-hari-cabaran-pertama-dunia-1.889870

165 kali daki, 165 hari…cabaran pertama dunia Reviewed by on . SOSOK tubuhnya kecil. Tak tinggi, tak rendah. Yang sedang-sedang sahaja. Cuma yang mengagumkan, semangat berbisa pada diri Mohd. Noor Mat Amin, 52. Merancang 16 SOSOK tubuhnya kecil. Tak tinggi, tak rendah. Yang sedang-sedang sahaja. Cuma yang mengagumkan, semangat berbisa pada diri Mohd. Noor Mat Amin, 52. Merancang 16 Rating: 0
scroll to top